Skip to main content

Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi (PPKT) ditubuhkan pada 1 Januari 2003 dengan gabungan empat entiti yang berasaskan Teknologi Maklumat di USM iaitu Pusat Komputer, Pusat Teknologi Maklumat, Unit Sistem Maklumat Pengurusan (SISMAP) dan Unit Pembangunan Teknologi Maklumat di Kampus Induk. Pelancaran secara rasmi telah disempurnakan oleh Naib Canselor, Yg Bhg Prof Dato' Dzulkifli Abd Razak pada 27 Ogos 2003. PPKT akan berperanan sebagai satu pusat serenti dalam menyediakan perkhidmatan IT yang berkualiti dan juga bertindak sebagai pemangkin kepada segala aktiviti penyelidikan, pembelajaran, pentadbiran, pengajaran, pengurusan dan perundingan Universiti Sains Malaysia(USM).

Oleh kerana Kampus Kesihatan tidak mempunyai cawangan Pusat Teknologi Maklumat, Unit Sistem Maklumat dan Unit Pembangunan Teknologi Maklumat maka PPKT Kampus Kesihatan buat masa ini hanya merupakan pertukaran nama bagi Cawangan Pusat Komputer tanpa pertambahan kakitangan.



Cawangan Pusat Komputer bermula dengan seorang kakitangan pada tahun 1986 dan terus berkembang. Pada tahun 1996 Cawangan Pusat Komputer memulakan perkhidmatan Sistem Maklumat Hospital dan juga pengagihan PC kepada semua pensyarah, pegawai kategori A dan jabatan untuk memperkenalkan perkhidmatan rangkaian USMNet yang menjadi teras perkhidmatan PPKT sehingga kini. Perkhidmatan Sistem Maklumat Hospital akhirnya diambil alih oleh Unit Sistem Maklumat HUSM pada tahun 2000. Dengan bantuan PPKT di Kampus Induk PPKT Kampus Kesihatan akan menawarkan semua perkhidmatan yang diperlukan untuk menjayakan agenda IT USM di kampus ini. Perkhidmatan pembangunan sistem aplikasi korporat akan dibangunkan oleh kakitangan di Kampus Induk untuk mempastikan ianya bersepadu.

Peranan yang menyeluruh diharap akan memastikan perlaksanaan pembangunan serta penggunaan perkhidmatan teknologi maklumat & komunikasi yang lebih bersepadu di USM, selaras dengan keperluan sasaran menuju ke arah menjadi sebuah e-Universiti Penyelidikan.

MISI & OBJEKTIF KUALITI



OBJEKTIF KUALITI

  •  Semua permohonan akan disemak dan diberi kelulusan dalam tempoh (3) tiga hari bekerja daripada tarikh  borang permohonan yang lengkap diterima

  • Semua laporan kerosakan perkakasan PPKT yang tidak memerlukan alat ganti daripada pembekal atau  kepakaran pembekal akan diselesaikan dalam tempoh (5) lima hari bekerja.

  • Memproses dan menghantar semua bil dan tuntutan bayaran ke Jabatan Bendahari dalam tempoh tiga (3) hari  daripada tarikh penerimaan bil.

MISI
  • Misi PPKT adalah untuk menyediakan perkhidmatan dan infrastruktur Teknologi Maklumat yang berkualiti dan bermutu. Menyelaraskan proses-proses yang melibatkan akademik, pelajar, pentadbiran dan pengurusan melalui portal laman web untuk tujuan pemindahan dan perkongsian maklumat dalam usaha untuk mempertingkatkan pengetahuan dan kepakaran Teknologi Maklumat di kalangan warga USM.
  • Membimbing dan menjadi sumber inspirasi kepada warga Universiti dalam mengharungi arus perubahan Teknologi Maklumat. Memastikan wawasan Universiti untuk menjadi sebuah institusi pengajian dan penyelidikan yang terulung akan menjadi kenyataan dengan Teknologi Maklumat sebagai pemangkin.
  • Membina komuniti kampus yang berpengetahuan dan bermaklumat dalam bidang Teknologi Maklumat. Menjadi pusat rujukan untuk hal-hal yang berkaitan dengan Teknologi Maklumat. Serta membudayakan masyarakat kampus dengan Teknologi Maklumat.
  • Menawarkan perkhidmatan berkualiti dalam menyokong aktiviti R&D, pengajaran & pembelajaran pengajian tinggi dan menyediakan infrastruktur ICT yang menyeluruh di USM secara inovatif dan kreatif. Selain itu, PPKT juga sebagai "enabler" kepada persekitaran keilmuan dan pengetahuan.
  • Menyatukan perkhidmatan akademik, pelajar, pentadbiran serta pengurusan dan masyarakat melalui satu portal maklumat dan pemindahannya berasaskan web. Dengan penubuhan PPKT akan merintis lebih banyak perkembangan baru untuk keselesaan berurusan, berkhidmat, serta menjana, menyimpan dan menyebar ilmu seluas-luasnya.
Back to top