PROGRAM CSR : GOTONG ROYONG PEMBERSIHAN KAWASAN KUBUR
19 Oktober 2024, Sabtu – Bertempat di Tanah Perkuburan Langgar Panchor, Kota Bharu Kelantan, telah berlangsung satu aktiviti gotong-royong pembersihan kawasan kubur. Aktiviti ini telah dianjurkan oleh Masjid As-Siddiqin Mukim Panchor, dengan kerjasama beberapa buah agensi kerajaan dan Ahli Qariah Masjid Panchor. Antara agensi yang terlibat di dalam aktiviti gotong-royong ini adalah Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia (JBPM), Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB), dan Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN). Pusat Pengetahuan Komunikasi & Teknologi (PPKT) Kampus Kesihatan juga turut bersama menyumbang tenaga dalam aktiviti pembersihan kawasan Perkuburan Langgar Panchor ini.
Seramai 15 orang staf bersama ahli keluarga, telah mengambil bahagian di dalam aktiviti gotong-royong yang juga merupakan salah satu inisiatif Kelab PPKT Kampus Kesihatan. Turut hadir menyumbang tenaga dalam aktiviti gotong-royong ini, Timbalan Pengarah PPKT Kampus Kesihatan, Tn. Hj. Nik Nashron bin Ab. Aziz. Program CSR : Gotong-royong pembersihan kawasan perkuburan ini telah bermula pada jam 8.00 pagi dengan ketibaan para peserta di lokasi gotong-royong dan seterusnya mengambil tempat masing-masing untuk memulakan aktiviti pembersihan. Peserta yang hadir telah melakukan aktiviti pembersihan seperti mencabut dan memesin rumput, menebang pokok, membakar sisa-sisa buangan dan pelbagai lagi kerja-kerja pembersihan bagi memastikan kawasan perkuburan tersebut bersih dan kemas. Sepanjang program berlangsung, peserta telah dijamu dengan makanan dan minuman yang disediakan oleh pihak penganjur.
Aktiviti ini tamat pada jam 12.30 tengah hari dan semua peserta telah bersurai setelah semua kerja-kerja pembersihan selesai serta agihan nasi bungkus dibuat pada akhir program. Program CSR seperti ini diharap dapat mengeratkan lagi ukhwah antara staf PPKT, ahli keluarga serta masyarakat setempat, di samping menerapkan nilai murni dalam diri setiap peserta yang hadir. Kelab PPKT Kampus Kesihatan merancang untuk meneruskan aktiviti-aktiviti luar seperti ini pada tahun akan datang, dengan penyertaan yang lebih ramai lagi daripada ahli kelab dan keluarga bagi memeriahkan lagi program yang dilaksanakan.
Teks berita & gambar oleh : Siti Salbiah M. Salleh