Program Bakul Kasih Ramadhan PPKT 2024
24 Mac 2024, Ahad – Mengambil keberkatan bulan Ramadhan yang mulia ini, Pusat Pengetahuan Komunikasi & Teknologi (PPKT) Kampus Kesihatan telah menjalankan satu program kemasyarakatan iaitu Bakul Kasih Ramadhan. Program ini mensasarkan golongan asnaf dan miskin Kelantan (dalaman USM, Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah & kawasan yang berhampiran). Bantuan yang disampaikan adalah berbentuk barangan keperluan makanan, bagi mengurangkan beban mereka sepanjang bulan puasa ini.
Program kelolaan Seksyen Korporat PPKT ini bermula pada 25 Februari 2024, di mana edaran tabung sumbangan telah dibuat di beberapa buah PTJ Kampus Kesihatan, Hospital USM serta PPKT Kampus Induk. Setelah dua minggu tabung sumbangan diedarkan, proses pembelian barang serta persiapan bakul barangan keperluan untuk asnaf dibuat oleh semua AJK program yang terlibat. Pada 24 – 28 Mac 2024, aktiviti penyerahan sumbangan barang keperluan kepada asnaf telah dilaksanakan. Beberapa kumpulan yang terdiri daripada staf PPKT telah di pecahkan mengikut zon kawasan tempat tinggal asnaf yang terlibat. Aktiviti yang berlangsung selama lima hari ini telah berjaya menyampaikan sumbangan bakul-bakul barang keperluan kepada 70 orang asnaf yang telah dikenalpasti layak menerima bantuan tersebut.
Kelolaan program ini adalah satu initiatif dan menjadi platform kepada warga kampus yang berminat untuk memberi sumbangan kewangan bersempena menyambut bulan ramadan yang mulia. Selain itu, ia juga dapat menzahirkan sikap kerjasama, toleransi, hormat-menghormati dan bertimbang rasa antara ahli jawatankuasa program yang terdiri daripada staf PPKT Kampus Kesihatan. Menjadi harapan kami di PPKT agar program ini dapat meringankan beban golongan asnaf dan miskin yang terpilih dalam menghadapi bulan Ramadan, serta usaha ini mendapat keredhaan daripada Allah SWT.
Teks berita oleh : Siti Salbiah | Gambar oleh : AJK Program Bakul Kasih Ramadhan