Pertandingan Memasak Bubur Asyura Kampus Kesihatan USM 2024
20 Ogos 2024, Selasa – Menghayati peristiwa Maal Hijrah dan mengambil semangat bulan kemerdekaan, Pusat Pengetahuan Komunikasi & Teknologi (PPKT) telah menyahut cabaran membuat Bubur Asyura di dalam pertandingan yang dianjurkan oleh Pusat Islam Kampus Kesihatan. Pertandingan peringkat kampus ini telah disertai oleh beberapa buah Pusat Tanggungjawab (PTJ) di bawah Kampus Kesihatan, termasuk PPKT sendiri. Seramai 30 orang staf PPKT telah dihantar untuk mewakili jabatan dalam Pertandingan Memasak Bubur Asyura Peringkat Kampus Kesihatan USM 2024.
Bertempat di perkarangan Masjid Pusat Islam, acara mengacau bubur asyura berlangsung dengan suasana yang sangat meriah dengan semangat serta kesungguhan setiap peserta yang mengambil bahagian. Walau bagaimanapun, kemeriahan ini telah dirasai lebih awal di mana aktiviti membuat bubur asyura dimulakan sehari sebelum pertandingan dengan kerja-kerja penyediaan bahan untuk memasak bubur. Penyediaan bahan masakan yang dibuat di pantri pejabat PPKT ini telah disertai oleh semua peserta yang terlibat. Setiap proses penyediaan bahan masakan telah diselia oleh Ketua Chef iaitu En. Khuzairi yang turut menyumbang resepi turun temurun beliau untuk penyediaan Bubur Asyura PPKT.
Pada hari pertandingan, semua peserta tertumpu kepada acara utama iaitu mengacau Bubur Asyura. Tepat jam 5 pagi 20 Ogos 2024, peserta lelaki mula berkumpul di perkarangan Masjid Pusat Islam untuk kerja-kerja penyediaan tempat dan seterusnya memasak Bubur Asyura. Proses menyiapkan Bubur Asyura ini memakan masa selama 10 jam dimana ianya berjaya disiapkan pada jam 3 petang. Selesai proses memasak, semua peserta bekerjasama di dalam proses menghias serta menghidang Bubur Asyura yang kami namakan sebagai ‘Bubur Asyura Al-Mumtaz’ untuk penjurian serta agihan kepada orang ramai.
Program ini tamat pada jam 5 petang setelah selesai acara penyampaian hadiah kepada semua peserta yang mengambil bahagian. PPKT telah menerima hadiah saguhati dan anugerah ‘Pasukan Paling Awesome’, berupa sebuah hamper makanan. Walau pun kemenangan tidak berpihak kepada kami, namun semangat berpasukan serta kerjasama yang ditunjukkan oleh semua ahli pasukan ini amat bermakna buat kami. Selain itu, pengalaman menyertai pertandingan ini juga menjadi satu kebanggaan buat kami memandangkan ini merupakan pengalaman pertama kami dalam program seperti ini, dan kami berjaya membuktikan kemampuan kami dalam menyediakan Bubur Asyura. Diharap program seperti ini dapat diteruskan lagi pada tahun-tahun hadapan dengan penyertaan serta suasana yang lebih meriah lagi.
Teks berita oleh : Siti Salbiah | Gambar oleh : Ahli Pasukan Bubur Asyura PPKT