Brisk Walk & Townhall PPKT Siri 1/2024
4 Januari 2024, Khamis – Pusat Pengetahuan Komunikasi & Tekonologi (PPKT) Kampus Kesihatan telah memulakan tahun baharu 2024 dengan program kesihatan, iaitu brisk walk di sekitar Kompleks Sukan 2 Kampus Kesihatan. Tepat jam 8.30 pagi, semua staf PPKT berkumpul di Kompleks Sukan 2 dan program dimulakan dengan ucapan ringkas daripada Ketua Jabatan PPKT KK, Tn. Hj. Nik Nashron. Sebelum memulakan aktiviti berjalan kaki, senaman pemanas badan telah dibuat dan diketuai oleh seorang staf PPKT, En. Nik Muhammad Azrul. Selesai senaman ringan tersebut, aktiviti brisk walk dimulakan dan semua peserta berjalan kaki bermula daripada Kompleks Sukan 2, melalui sepanjang jalan di hadapan Desasiswa Murni sehingga ke Kompleks Pentadbiran Kampus Kesihatan.
Setibanya di tempat penamat, peserta diberikan rehat serta minum pagi di Dewan Peperiksaan, Kompleks Pentadbiran Kampus Kesihatan. Pada tempat yang sama juga telah diadakan program seterusnya iaitu Townhall PPKT Siri 1/2024. Townhall ini telah dihadiri oleh hampir kesemua staf PPKT dan dimulakan dengan taklimat oleh Tn. Hj. Nik Nashron. Taklimat dimulakan dengan penerangan tentang panduan Balance Score Card (BSC) untuk tahun 2024. Beberapa kelemahan di dalam penggunaan BSC telah dikenalpasti pada tahun lepas dan Tn. Hj. Nik Nashron selaku Ketua Jabatan mengambil inisiatif ini untuk memastikan semua staf faham akan penggunaan BSC, seterusnya dapat mengaplikasikan sistem ini dengan lebih baik lagi pada tahun ini.
Agenda seterusnya yang disampaikan oleh Tn. Hj. Nik Nashron ialah penjanaan PPKT untuk tahun 2024. Beberapa pendekatan baharu akan dibuat pada tahun ini bagi memastikan penjanaan untuk jabatan dapat dipertingkatkan lagi. Selain itu, hebahan berkenaan carta organisasi PPKT 2024 juga telah dibuat, di mana terdapat beberapa perubahan kecil telah dirancang dalam susun atur carta organisasi jabatan pada tahun ini. Selesai taklimat daripada Ketua Jabatan, En. Nareeman Shah pula meneruskan townhall dengan pra perasmian laman web baharu PPKT. Laman web yang telah dibuat pembaharuan ini ditunjukkan kepada semua staf yang hadir, bagi tujuan semakan serta penambahbaikan pada fasa seterusnya. Program townhall ini tamat dan semua staf bersurai pada jam 10.30 pagi.
Teks berita oleh : Siti Salbiah M. Salleh | Gambar oleh : Unit Web & Multimedia, PPKT