Bengkel Pelan Strategik Pusat Pengetahuan Komunikasi & Teknologi (PPKT) 2024
Jeli, 10 November 2024 – Pusat Pengetahuan Komunikasi & Teknologi (PPKT) telah berjaya menganjurkan bengkel pelan strategik selama dua hari, bermula pada 9 hingga 10 November 2024, yang bertempat di Lalang's Resort & Spa, Jeli, Kelantan. Bengkel ini bertujuan memperkukuhkan hala tuju dan perancangan masa depan PPKT melalui pelbagai modul strategik.
Sepanjang bengkel ini, peserta-peserta telah didedahkan dengan beberapa modul utama termasuk perancangan hala tuju PPKT, perancangan latihan yang lebih berfokus, sasaran tugas, serta penjanaan kewangan bagi menyokong pembangunan PPKT secara mampan. Semua modul ini disusun untuk memastikan PPKT kekal relevan dan berdaya saing dalam menyediakan perkhidmatan serta kemudahan yang terbaik dalam bidang ICT dan teknologi.
Penyertaan dan komitmen yang tinggi dari setiap peserta dalam perbincangan dan aktiviti yang dijalankan menggambarkan dedikasi PPKT dalam mencapai matlamat strategiknya. Bengkel ini juga menyediakan platform kepada peserta untuk bertukar pandangan dan idea baharu dalam usaha memperkasakan lagi perkhidmatan PPKT.
Dengan pelaksanaan bengkel ini, PPKT optimis untuk menjadikan PPKT sebagai hub perkhidmatan ICT yang mampan dan berdaya saing, sekali gus menyumbang kepada pembangunan bidang komunikasi dan teknologi di Universiti Sains Malaysia khususnya di Kampus Kesihatan.
Teks berita oleh : Mohd Zulkifly Ibrahim Gambar oleh : Roselina Ab. Rashid